Malaysia perlu perkukuh tenaga kerja aeroangkasa
Shah Alam: Industri aeroangkasa Malaysia perlu terus memperkukuh pembangunan tenaga kerja mahir, keupayaan teknologi dan kesesuaian sistem pendidikan bagi memastikan syarikat tempatan mampu memenuhi keperluan pengeluar pesawat global yang sentiasa berubah.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, industri berkenaan ketika ini menggunakan kira-kira 34,000 tenaga kerja mahir, dengan sekitar 300 syarikat tempatan dan antarabangsa terbabit dalam sektor itu.
Beliau berkata, usaha memperkukuh industri aeroangkasa memerlukan pelbagai strategi, termasuk memastikan tenaga kerja mempunyai kemahiran mencukupi serta kemampuan teknologi yang diperlukan untuk menyokong keperluan sektor berkenaan.
Katanya, sistem pendidikan juga perlu menyesuaikan diri dengan perubahan keperluan industri supaya tenaga kerja yang dilahirkan dapat diserap ke dalam sektor aeroangkasa.
"Jika kita tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan, tidak mempunyai keupayaan dan bakat untuk menyesuaikan diri, maka kita tidak akan menjadi destinasi pilihan," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Kepimpinan Strategik Aeroangkasa 2026 anjuran Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA), di sini, hari ini.
Johari berkata, perubahan reka bentuk pesawat menuntut pembekal menyesuaikan keupayaan masing-masing bagi memenuhi keperluan pengeluar yang sentiasa berkembang mengikut kemajuan teknologi.
Beliau berkata, keupayaan Malaysia memenuhi kriteria antarabangsa, termasuk dari segi bakat, teknologi dan kestabilan politik, menjadi antara perkara yang perlu diberikan perhatian dalam usaha menarik peluang perniagaan daripada pengeluar pesawat utama dunia.
Katanya, Boeing dan Airbus adalah dua pengeluar pesawat utama dunia, manakala peluang bagi syarikat Malaysia turut bergantung pada kemampuan mereka memenuhi keperluan pelanggan dalam rantaian bekalan global.
Dalam konteks itu, Johari berkata, syarikat yang menyediakan komponen perlu memenuhi keperluan pelanggan, termasuk mendapatkan bahan mentah yang bersesuaian bagi menghasilkan komponen diperlukan.
"Pengeluar atau pelanggan akan mendapatkan komponen daripada pembekal berdasarkan keperluan masing-masing, manakala pesanan bergantung pada kemampuan pembekal menyediakan produk atau perkhidmatan yang diperlukan," katanya.
Johari turut menyentuh kepentingan mengekalkan kedudukan Malaysia dalam sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), selain peranannya dalam rantaian bekalan aeroangkasa.
Beliau berkata, Malaysia berdepan kekangan untuk membangunkan keseluruhan struktur pesawat sendiri kerana keupayaan sedemikian memerlukan kapasiti menyeluruh, termasuk kemudahan pengujian.
Sehubungan itu, katanya, pengukuhan keupayaan tenaga kerja dan kompetensi teknologi penting bagi membolehkan industri tempatan terus memenuhi keperluan pelanggan serta menyesuaikan diri dengan perkembangan sektor aeroangkasa.
Jelasnya, keperluan pesawat komersial baharu dianggarkan sekitar 40,000 unit dalam tempoh 20 tahun akan datang, berbanding kira-kira 35,000 pesawat ketika ini.
"Perubahan reka bentuk pesawat dan perkembangan teknologi memerlukan pembekal terus menyesuaikan keupayaan masing-masing supaya kekal relevan dalam rantaian bekalan industri berkenaan," katanya.
Dalam pada itu, Johari berkata, nilai industri aeroangkasa Malaysia ketika ini sekitar RM32.5 bilion, dengan sasaran meningkat kepada RM55 bilion menjelang 2030 berdasarkan pelan hala tuju industri.
