Malaysia perlu kuasai teknologi aeroangkasa bernilai tinggi - Johari
SHAH ALAM: Malaysia perlu memperkukuh penguasaan teknologi, keupayaan kejuruteraan dan rantaian bekalan tempatan bagi memastikan industri aeroangkasa negara beralih kepada aktiviti bernilai tinggi, sekali gus meningkatkan daya saing dalam pasaran global.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata walaupun industri itu menunjukkan perkembangan memberangsangkan, penyertaan syarikat Malaysia dalam bidang kejuruteraan maju, reka bentuk, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta teknologi proprietari masih terhad.
"Walaupun kita mempunyai kekuatan, penyertaan dalam aktiviti bernilai tambah tinggi seperti kejuruteraan maju, reka bentuk, penyelidikan dan pembangunan serta teknologi proprietari masih agak terhad," katanya ketika menyampaikan ucaptama di Persidangan Kepimpinan Strategik Aeroangkasa 2026 anjuran Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA) di sini, hari ini.
Johari berkata, perkembangan industri aeroangkasa global yang dipacu perubahan geopolitik, gangguan teknologi dan persaingan semakin sengit menuntut Malaysia menilai semula keutamaan serta strategi pembangunan industrinya.
Katanya, pengeluar pesawat utama dunia kini menilai semula strategi mendapatkan sumber bekalan dengan memberi penekanan lebih besar kepada daya tahan rantaian bekalan, kebolehpercayaan dan kepelbagaian geografi.
"Bagi Malaysia, perubahan ini membuka peluang, tetapi peluang itu tidak akan datang secara automatik. Negara yang menjangkakan perubahan dan melabur dalam keupayaan yang tepat akan berada pada kedudukan lebih baik untuk memperoleh bahagian lebih besar daripada pertumbuhan industri pada masa depan," katanya.
Industri aeroangkasa Malaysia menjana hasil RM32.5 bilion pada 2025, disokong kira-kira 34,700 tenaga kerja mahir serta lebih 300 syarikat tempatan dan antarabangsa yang beroperasi dalam sektor berkenaan.
Sebahagian besar kegiatan industri itu disokong sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta pembuatan aeroangkasa, yang merangkumi kira-kira 65 peratus pekerjaan dan 75 peratus daripada keseluruhan hasil sektor.
Malaysia menyasarkan industri aeroangkasa menjana hasil tahunan RM55.2 bilion menjelang 2030, selain meletakkan negara sebagai peneraju industri aeroangkasa di Asia Tenggara menerusi Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.
Bagaimanapun, Johari berkata, kejayaan dasar perindustrian tidak seharusnya diukur berdasarkan angka pelaburan atau hasil semata-mata, sebaliknya perlu dinilai menerusi keupayaan meningkatkan teknologi tempatan, membuka peluang kepada pembekal Malaysia dan mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi.
"Pelaburan yang kita tarik mesti memperkukuh keupayaan teknologi tempatan, mewujudkan peluang kepada pembekal Malaysia, menghasilkan pekerjaan bergaji tinggi dan menjana lebih banyak nilai dalam ekonomi kita," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa syarikat multinasional aeroangkasa yang beroperasi di Malaysia memperluas perolehan tempatan serta menjadikan pembangunan pembekal dalam negara sebagai sebahagian daripada strategi pelaburan jangka panjang mereka.
Beliau berkata, kerajaan komited menyokong usaha pembekal tempatan memenuhi piawaian antarabangsa bagi membolehkan lebih banyak syarikat Malaysia mengambil bahagian dalam rantaian bekalan industri aeroangkasa global.
Pada masa sama, syarikat tempatan perlu memperluas keupayaan dalam bidang bahan termaju, komponen khusus, perkakasan pembuatan, automasi dan reka bentuk kejuruteraan bagi membolehkan mereka menerima tugasan yang lebih kompleks serta bernilai tinggi.
Dalam segmen MRO pula, Malaysia perlu bergerak ke arah perkhidmatan yang lebih canggih, termasuk pembaikan komponen, aktiviti berkaitan enjin dan penyelenggaraan berasaskan digital, selaras dengan perubahan teknologi dalam industri penerbangan.
"Matlamat kita bukan semestinya menghasilkan sebuah pesawat komersial lengkap. Sebaliknya, kita perlu membangunkan keupayaan bertaraf dunia dalam bidang terpilih yang membolehkan syarikat Malaysia menjadi rakan yang amat diperlukan oleh pengeluar global," kata Johari.
Peluang pertumbuhan turut disokong prospek permintaan pesawat dunia apabila Boeing dan Airbus mengunjurkan industri penerbangan memerlukan lebih 40,000 pesawat komersial baharu dalam tempoh 20 tahun akan datang, berbanding kira-kira 35,000 pesawat dalam armada global sedia ada.
Asia Pasifik pula dijangka menyumbang hampir separuh daripada permintaan pesawat penumpang baharu dunia, sekali gus membuka ruang kepada Malaysia memanfaatkan kedudukan strategik serta ekosistem industri yang sudah dibangunkan dalam rantau berkenaan.
Bagaimanapun, industri penerbangan turut berdepan tekanan kos susulan konflik berterusan di Asia Barat yang menjejaskan pasaran tenaga global, dengan harga purata bahan api jet meningkat daripada AS$90 setong pada 2025 kepada AS$150 setong setakat 2026.
Mengulas keperluan memperkukuh daya saing jangka panjang, Johari berkata, industri, universiti serta institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional perlu bekerjasama lebih rapat bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, termasuk lebih ramai jurutera dan penyelidik tempatan yang terbabit dalam reka bentuk, pembangunan produk dan inovasi.
"Peserta industri tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian sedia ada, sebaliknya perlu terus melabur dalam teknologi baharu, memperkukuh keupayaan kejuruteraan dan meningkatkan produktiviti bagi membolehkan Malaysia beralih daripada sekadar menyertai rantaian bekalan global kepada menjadi rakan yang semakin penting kepada industri aeroangkasa dunia," katanya.
