Malaysia Airlines anjur Perhimpunan Presiden AAPA ke-70 minggu depan
KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines akan menghimpunkan pemimpin daripada 18 syarikat penerbangan anggota Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik (AAPA) sempena Perhimpunan Presiden AAPA ke-70 pada 12 dan 13 November ini.
Persidangan yang dianjurkan Malaysia Airlines selaku Pengerusi AAPA bagi 2026 itu akan membincangkan keutamaan industri penerbangan serantau termasuk daya tahan operasi, tekanan rantaian bekalan, penerbangan mampan dan kepentingan kerjasama lebih erat antara negara.
Bertemakan 'Redefining Aviation: Growth, Resilience and Innovation', perhimpunan itu menjadi platform kepada pemimpin syarikat penerbangan untuk bertukar pandangan mengenai cabaran serta peluang yang bakal membentuk masa depan industri penerbangan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Nasaruddin A Bakar, berkata industri penerbangan berdepan persekitaran operasi kompleks termasuk kekangan rantaian bekalan, peningkatan kos operasi dan perkembangan geopolitik.
Beliau berkata, penyelarasan suara menerusi AAPA membolehkan syarikat penerbangan Asia Pasifik mengetengahkan keutamaan bersama serta melibatkan diri dengan lebih berkesan dalam menangani isu yang memberi kesan kepada industri.
"Sebagai Pengerusi bagi 2026, Malaysia Airlines berbangga dapat menyokong usaha bersama ini dan memperkukuh kerjasama ke arah masa depan penerbangan serantau yang lebih berdaya tahan dan mampan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah AAPA, Wong Hong, berkata syarikat penerbangan Asia Pasifik sedang berdepan permintaan yang semakin sederhana selain tekanan berterusan daripada peningkatan kos bahan api, kekangan rantaian bekalan dan ketidaktentuan operasi.
Beliau berkata, usaha mengekalkan pertumbuhan industri memerlukan kerjasama serantau lebih erat, operasi berdaya tahan serta pelaburan berterusan dalam pembangunan modal insan dan infrastruktur.
Penggunaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) juga berpotensi membantu industri bertindak balas dengan lebih pantas terhadap perubahan serta meningkatkan mutu perkhidmatan kepada penumpang.
Perhimpunan itu akan dirasmikan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan turut menghimpunkan wakil kerajaan, badan pengawal selia serta rakan industri penerbangan.
