MAG mahu kurangkan 45 peratus intensiti pelepasan karbon menjelang 2035
KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) menyasarkan pengurangan intensiti pelepasan karbon sebanyak 40 hingga 45 peratus menjelang 2035 berbanding paras asas 2019 menerusi Pelan Hala Tuju Kelestarian Jangka Sederhana MAG 2026-2035.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar, berkata pelaksanaan itu menyokong Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0 (LTBP3.0) MAG serta komitmen terhadap karbon sifar bersih menjelang 2050.
"MAG menyasarkan pengurangan intensiti pelepasan karbon sebanyak 30 hingga 35 peratus menjelang 2030 dan 40 hingga 45 peratus menjelang 2035, berbanding paras asas 2019.
"Dalam operasi penerbangan, kami akan menumpukan kepada pembaharuan armada, kecekapan bahan api, elektrifikasi peralatan darat, bahan api penerbangan mampan (SAF), serta kredit karbon layak selaras dengan keperluan kawal selia," katanya berucap pada Hari Kelest
arian Penerbangan 2026 anjuran MAG dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) di sini, hari ini.
Menurutnya, pelaksanaan memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, pengawal selia, pengendali lapangan terbang, syarikat penerbangan dan rakan industri bagi memastikan usaha kelestarian dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
"Ujian sebenar pelan hala tuju ini bukannya pada dokumen itu sendiri, tetapi pada perubahan yang terhasil daripadanya.
"Pelaksanaannya memerlukan usaha berterusan di seluruh MAG serta pembabitan berterusan dengan rakan-rakan kongsi kami. Kerjasama dengan Malaysia Airports memberi peluang untuk menyelaraskan kawasan di mana operasi kami terhubung, terutamanya dalam bidang seperti tenaga bersih, kecekapan terminal, dan elektrifikasi peralatan darat," katanya.
Nasaruddin berkata, MAG turut menyasarkan pengurangan intensiti penggunaan tenaga bangunan sebanyak 20 peratus berbanding paras asas 2023 serta kadar pengalihan sisa daripada tapak pelupusan sebanyak 55 peratus menjelang 2030.
Sementara itu, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani, berkata peralihan kepada penerbangan mampan memerlukan penyelarasan pelaburan, perancangan infrastruktur dan keutamaan operasi antara pengendali lapangan terbang dengan syarikat penerbangan.
Beliau berkata, kedua-dua pihak saling bergantung dalam usaha penyahkarbonan kerana keperluan operasi syarikat penerbangan berkait rapat dengan infrastruktur serta persekitaran operasi yang disediakan lapangan terbang.
Antara inisiatif adalah pembangunan Taman Solar KLIA Aeropolis berkapasiti 36 megawatt puncak (MWp), dilengkapi sistem penyimpanan tenaga bateri berkapasiti 45 megawatt-jam (MWh), yang dijangka mengelakkan kira-kira 35,000 tan pelepasan karbon setahun.
Kerjasama MAG dan MAHB itu merupakan sebahagian daripada usaha menyokong agenda penyahkarbonan penerbangan Malaysia serta memperkukuh daya saing Kuala Lumpur sebagai hab penerbangan serantau, selaras dengan aspirasi negara mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
