MAG giat tingkat kapasiti, percepat pengembangan komersial

KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) giat melaksanakan beberapa projek strategik utama bagi meningkatkan kapasiti dan mempercepat pengembangan komersial kumpulan.

Usaha itu merangkumi pelaburan berterusan dalam pemodenan armada, peluasan rangkaian penerbangan dan pembangunan infrastruktur, termasuk pembinaan kemudahan katering dalam pesawat yang baharu.

MAG dalam kenyataan berkata, kumpulan sentiasa menilai pelbagai pilihan modal secara proaktif bagi membiayai inisiatif berkenaan secara mampan.

Pilihan itu termasuk cadangan program sukuk yang selaras dengan pelan hala tuju kewangan jangka panjang kumpulan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A Bakar, berkata hala tuju kumpulan di bawah Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0 (LTBP3.0) berpandukan perancangan kewangan kukuh, ketelitian operasi dan keutamaan komersial yang jelas.

Beliau berkata, penarafan kredit terbaharu oleh MARC Ratings menyokong hala tuju strategik MAG ketika kumpulan merancang pengembangan perniagaan melangkaui 2030.

Penarafan itu dibuat berdasarkan penilaian terhadap cadangan program kertas komersial Islam dan program nota jangka sederhana Islam MAG, yang secara keseluruhannya membentuk program sukuk kumpulan.

"Kami kekal tertumpu untuk meneruskan pertumbuhan secara berperingkat dan terancang, termasuk menambah baik rangkaian penerbangan serta perkhidmatan dalam pesawat, selain memperluas keupayaan teknikal dalam penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih.

"Pelaburan ini turut menyumbang kepada aspirasi Malaysia untuk menjadi hab aeroangkasa serantau yang terkemuka dan menyokong pembangunan ekosistem penerbangan negara," katanya.

Nasaruddin berkata, MAG akan terus mengekalkan tadbir urus fiskal yang ketat dan memastikan pendedahan maklumat pasaran dilaksanakan sewajarnya sepanjang pelaksanaan pelan hala tuju pertumbuhan kumpulan.

Menurutnya, penilaian terbaharu MARC Ratings mencerminkan prestasi operasi MAG yang konsisten, disiplin kewangan serta pelaksanaan strategi berterusan di bawah LTBP3.0.

Penilaian itu juga merangkumi penarafan kredit pertama MAG oleh agensi berkenaan, dengan kumpulan memperoleh penarafan tertinggi yang boleh diberikan.

"Penilaian ini mengukuhkan kedudukan strategik MAG sebagai syarikat induk kepada syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines Bhd, dan penyedia perkhidmatan penerbangan bersepadu terkemuka di Malaysia.

"Ini mencerminkan keyakinan terhadap hala tuju jangka panjang kumpulan, yang disokong oleh penyelarasan strategik kukuh dengan pemegang saham majoriti MAG, Khazanah Nasional Bhd," menurut kenyataan itu.