Johor sasar sektor aeroangkasa sebagai pemacu pertumbuhan baru
Johor menyasarkan industri aeroangkasa sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baru negeri itu, dengan memanfaatkan kedudukannya yang strategik bersebelahan Singapura serta sokongan prasarana bertaraf antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, berkata Johor kini muncul sebagai ekonomi negeri paling pesat berkembang di Malaysia, dengan mencatatkan pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) 6.4 peratus pada 2024, melepasi purata nasional.
“Johor mempunyai kelebihan tersendiri untuk menjadi hab aeroangkasa serantau. Kita memiliki Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Pelabuhan Johor dan Pelabuhan Tanjung Pelepas, selain tenaga kerja muda berkemahiran hasil latihan di kolej TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional), politeknik dan universiti.
“Semua ini menjadikan Johor tapak semula jadi untuk pengilangan, penyelenggaraan, baik pulih dan operasi (MRO), logistik serta pembangunan rantaian bekalan industri aeroangkasa,” katanya dalam satu kenyataan pada 3 September.
Beliau berkata demikian pada majlis Malaysia Aviation Industry Association Business Bonding Outreach yang dianjurkan bersama Persatuan Industri Aeroangkasa Singapura.
Menurutnya, pada separuh pertama 2025 sahaja, Johor telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM56 bilion ($17 bilion), mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama negara.
Antara pemain utama industri yang sudah bertapak di Johor ialah GKN Aerospace di Iskandar Puteri yang mengendalikan kemudahan penyelidikan dan baik pulih enjin bertaraf dunia; Barnes Aerospace yang menghasilkan komponen enjin dan pesawat dengan kepakaran kejuruteraan berketepatan tinggi; serta Asia Digital Engineering (ADE), anak syarikat Capital A, yang mengoperasikan hangar MRO di Senai untuk pesawat Airbus A320 dan A330.
“Johor juga bakal menyambut kemasukan Singda Superalloy yang menghasilkan superaloi berasas nikel bagi komponen enjin turbin.
“Ini akan memperkukuh rantaian bekalan huluan dan memastikan Johor bukan sahaja membaiki dan memasang pesawat, tetapi turut membekalkan bahan mentah kritikal bagi industri ini,” jelas Encik Lee.
Beliau menambah, penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan menjadi pemangkin penting dalam membangunkan kerjasama aeroangkasa antara kedua-dua negara.
Melalui zon itu, kecekapan mobiliti jurutera, peluang usaha sama dan pembangunan teknologi baru termasuk dron serta penyelesaian penerbangan lestari dapat diperkasa.
“Johor dan Singapura berupaya menjadi enjin berkembar kepada rantaian bekalan aeroangkasa Asia Tenggara.
“Johor menyediakan tanah, kos berdaya saing dan ruang pengembangan, manakala Singapura membawa modal, rangkaian serta reputasi global. Kerjasama ini akan menghasilkan manfaat ‘menang-menang’ kepada kedua-dua belah sempadan,” katanya.
Encik Lee menegaskan, Johor juga komited menyelaraskan pembangunan aeroangkasa dengan agenda tenaga boleh baru dan pelan peralihan tenaga negara.
Tumpuan turut diberikan kepada pembangunan bakat tempatan agar jurutera, juruteknik dan pakar Johor bersedia mengisi peluang dalam industri berkesan tinggi itu.
“Aeroangkasa bukan sahaja akan memanfaatkan pelabur asing, tetapi juga perusahaan kecil dan sederhana tempatan seperti firma logistik serta bengkel kejuruteraan. Ia akan memberi limpahan ekonomi yang lebih luas kepada rakyat Johor,” katanya.