Anugerah Kecemerlangan Industri pacu transformasi ekonomi negara

PENGANJURAN Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2026 oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di Kuala Lumpur, baru-baru ini, menjadi pernyataan penting mengenai hala tuju ekonomi Malaysia.

Negara tidak boleh selamanya bergantung pada pelaburan masuk, aktiviti pemasangan dan tenaga kerja berkos rendah, sebaliknya mesti membina perusahaan tempatan berinovasi, memiliki teknologi sendiri dan berupaya menembusi pasaran dunia.

Sejak diperkenalkan pada 1991, AKI berperanan mengiktiraf kecemerlangan pengurusan, produktiviti, kualiti dan daya saing industri. Keistimewaannya terletak pada proses penilaian mendorong syarikat mengukur kelemahan sendiri, bukan semata-mata bersaing merebut trofi.

Dalam ekonomi berdepan ketidaktentuan perdagangan, gangguan rantaian bekalan dan perubahan teknologi, budaya penambahbaikan berterusan menjadi aset strategik negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, wajar diberikan penghargaan kerana meletakkan penganjuran ini dalam kerangka pembaharuan ekonomi lebih besar.

Ucapannya tidak terhenti pada pujian terhadap angka perdagangan, malah menuntut pelaksanaan dasar berkesan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kemampuan industri mengikuti perubahan pantas.

Penegasannya bahawa perancangan sehebat manapun tidak membawa hasil tanpa pelaksanaan menjadi peringatan bermakna kepada kerajaan dan sektor swasta.

Gagasan beliau, 'menggapai di langit, mengakar di bum', turut menghubungkan penguasaan kecerdasan buatan (AI), teknologi tinggi dan industri masa depan dengan keadilan sosial, identiti negara serta kesejahteraan rakyat.

Kemajuan industri tidak boleh diukur melalui angka eksport semata-mata jika pekerja, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta masyarakat luar bandar masih tertinggal.

Pendekatan ini menunjukkan transformasi industri perlu bersifat inklusif, bukannya menguntungkan syarikat gergasi sahaja.

Lebih penting, Perdana Menteri memberi perhatian khusus kepada peningkatan keupayaan puluhan ribu PKS. Sokongan pembiayaan, insentif dan dana penyelidikan diketengahkan menerusi belanjawan menunjukkan kesediaan kerajaan membina lebih ramai pemain tempatan dalam rantaian nilai global.

Matlamat ini menuntut tindakan susulan terukur, iaitu bilangan PKS berjaya mengeksport, kualiti pekerjaan diwujudkan serta peningkatan produktiviti dan gaji pekerja.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, juga harus dipuji atas kesungguhan menjadikan AKI suatu instrumen pembangunan industri, bukan acara protokol.

Dalam ucapannya, beliau menggariskan perubahan tepat, iaitu daripada pemasangan kepada reka bentuk dan kejuruteraan daripada produk asas kepada produk berteknologi tinggi dan daripada pembekal domestik kepada pembekal dipercayai syarikat multinasional.

Keutamaan terhadap teknologi milik sendiri, pembinaan jenama, R&D dan eksport mencerminkan wawasan perindustrian yang lebih matang.

Penyelarasan AKI dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 juga amat penting. Ia boleh menjadikan kriteria anugerah sebagai penanda aras transformasi sebenar, termasuk pembangunan bakat, kelestarian, automasi dan pengukuhan rantaian bekalan tempatan.

Hasrat Johari mengurangkan kebergantungan terhadap komponen import juga wajar diberi perhatian kerana nilai sebenar pelaburan asing meningkat apabila lebih banyak syarikat Malaysia menjadi pembekal berkeupayaan tinggi.

Pujian kepada kepemimpinan MITI

Kepentingan AKI turut terserlah dalam persaingan serantau yang semakin sengit. Negara yang sekadar menawarkan tapak kilang dan insentif cukai mudah kehilangan pelabur apabila kos atau rantaian bekalan berubah.

Sebaliknya, ekosistem memiliki jurutera berkemahiran, pembekal tempatan berkualiti, penyelidikan sendiri dan syarikat berdaya tahan sukar digantikan.

Pengiktirafan dan pujian khusus Perdana Menteri terhadap kepemimpinan Johari, yang disifatkan membawa pendekatan lebih kritis, terbuka dan berorientasikan penambahbaikan dalam pengurusan sektor perindustrian negara juga amat menarik kerana ia suatu yang jarang dilakukan oleh beliau.

Perdana Menteri menegaskan Johari tidak sekadar memberikan perhatian kepada angka pelaburan, import dan eksport, sebaliknya turut meneliti secara mendalam bidang yang masih memerlukan pembaharuan dan peningkatan keupayaan.

Perdana Menteri bahkan menyatakan,"Saya tentunya rasa bangga kerana kementerian ini," sambil memuji keterbukaan MITI yang menurutnya tidak lagi terikat dengan norma dan pemikiran lama.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada MITI dan seluruh pemain industri atas pencapaian peningkatan eksport sebanyak 30 peratus dalam tempoh setahun, yang disifatkannya sebagai 'agak menakjubkan'.

Pujian terbuka Perdana Menteri ini memperlihatkan penghargaan beliau terhadap pendekatan kepemimpinan MITI yang memberikan penekanan kepada penilaian prestasi secara kritis, pembaharuan dasar, keterbukaan terhadap perubahan serta usaha memperkukuh daya saing industri Malaysia dalam menghadapi persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar.

Penerima anugerah utama, iaitu Anugerah Perdana Menteri, UMW Aerospace Sdn Bhd juga layak diraikan kerana turut menjuarai sektor pembuatan Kategori 3. Kejayaan syarikat aeroangkasa ini melambangkan keupayaan Malaysia menyertai industri yang menuntut piawaian ketat, teknologi termaju dan pengurusan berkualiti.

Kemenangan EPIC dalam Kategori 4 khususnya memperlihatkan potensi syarikat berkaitan kerajaan negeri untuk bersaing dengan pengendali industri besar. Kepelbagaian penerima lain pula membuktikan kecemerlangan industri merentasi saiz syarikat dan bidang kegiatan.

Pemenang sewajarnya menjadi mentor kepada PKS, berkongsi amalan terbaik dan membantu memperluas peluang pembekalan tempatan.

MITI pula boleh menjejak kemajuan peserta dari segi inovasi, eksport, produktiviti, pekerjaan berkualiti dan pengurangan pergantungan teknologi asing.

Dengan pendekatan itu, anugerah berpotensi menjadi pemangkin pembangunan, bukan sekadar lambang prestij.

Tegasnya, AKI 2026 memperlihatkan keserasian hala tuju antara Perdana Menteri yang menekankan pertumbuhan berteraskan rakyat dengan Johari yang menuntut peningkatan keupayaan industri.

Kepemimpinan politik jelas, pentadbiran responsif dan perusahaan berani berinovasi menjadi gabungan penting untuk membawa Malaysia daripada negara lokasi pengeluaran kepada negara pencipta nilai, teknologi serta jenama bertaraf dunia.