Alphaswift, Aerodyne Teroka Industri Agrikultur. Jalin Kerjasama Tingkat Inovasi AI
Syarikat penyedia dron industri, reka bentuk dan pembangunan robotik tempatan, Alphaswift terokai industri agrikultur dengan jalinan kerjasama bersama Aerodyne Group (Aerodyne) dalam memfokuskan teknologi terkini menerusi perkhidmatan agrimor.
Ketua Pegawai Eksekutif Alphaswift, Dr. Shian Lee berkata sebagai syarikat perkhidmatan dron dan transformasi digital, usahasama ini sebagai langkah awal dalam membawa kepakaran ke pasaran global.
“Alphaswift menggunakan dron model A-22 Falco dengan kapasiti enjin bersepadu yang mampu terbang sehingga 10KM dan keupayaan semburan sejauh 6 meter.
“Dengan terknologi aircraft, kestabilan enjin dan remote control, model ini sangat sesuai untuk industri agrikultur dan kami berkerjasama dengan Aerodyne untuk kepakaran mereka dalam menyediakan perisian teknologi AI dan analisis” katanya yang turut berharap kerjasama ini dapat diluaskan bagi industri yang lain.
Tambahnya, kerjasama yang termeterai ini dapat meningkatkan produktiviti dan hasil tanaman serta mengurangkan kos kerana tidak lagi terbatas oleh jarak dan kekurangan tenaga pekerja. Malah penyeragaman logistik dron dan infrastruktur berkaitan adalah sangat penting untuk ekonomi global khususnya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Produk Agrimor Aerodyne, Razwan Zakaria menyifatkan kerjasama ini sebagai permulaan positif memajukan industri dengan mengaplikasikan teknologi AI dalam pertanian.
“Kami mahu terus mengembangkan lagi industri agrikultur negara secara holistik di samping meningkatkan inovasi.
“Satu daripada kelebihan AI ialah kemampuannya memberi analisis data mendalam berasaskan cuaca, keadaan tanah, malah kadar kelembapan. Berdasarkan kemampuan itu, AI memberi data berhubung masa penanaman, penggunaan baja dan radius semburan yang betul, sekali gus mampu meningkatkan hasil pertanian.
“AI juga berupaya memantau kesihatan tanaman berdasarkan pemerhatian terhadap data sensor dan visual” jelasnya ketika ditemui dalam majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di Centre of Garage, Cyberjaya.