Malaysia di landasan betul

KUALA LUMPUR 25 Feb. – Malaysia berada di landasan betul untuk menjadi peneraju industri aeroangkasa di Asia Tenggara sebagaimana disasarkan di dalam Pelan Induk Industri Aeroangkasa 2030 yang dilancarkan pada 2015.

SHAMSUL KAMAR ABU SAMAH
SHAMSUL KAMAR ABU SAMAH

Ketua Pejabat Koordinasi Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Shamsul Kamar Abu Samah berkata, ini berdasarkan prestasi sektor tersebut yang semakin berkembang pesat dengan mencatat peningkatan pendapatan sebanyak RM13 bilion manakala eksport pula meningkat 53 peratus kepada RM8.49 bilion pada 2017 berbanding RM5.53 bilion tahun sebelumnya.

Katanya, kerajaan menjangkakan ia akan mencatat pertumbuhan lebih lima peratus daripada pendapatan dan eksport aeroangkasa didorong oleh peningkatan eksport untuk komponen pesawat seperti Fan Cowl dan Cargo Door.

Setakat ini ujar beliau, sektor pembuatan dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) menjadi penyumbang utama dalam industri aeroangkasa negara yang terdiri daripada lima bidang utama termasuk sistem integrasi, perkhidmatan kejuruteraan serta pendidikan dan latihan.

“Pada 2016, sektor pembuatan menjana pendapatan sebanyak RM6.4 bilion manakala MRO menyumbang RM6.23 bilion pada 2017. Jumlah ini dijangka meningkat masing-masing tahun ini kepada RM6.7 bilion dan RM6.5 bilion bagi sektor pembuatan dan MRO,” katanya di sini baru-baru ini.

Di bawah pelan induk itu, kerajaan menyasarkan untuk meraih lima peratus pasaran sektor MRO global dan menjadi pengeluar bahagian dan komponen aeroangkasa nombor satu di Asia Tenggara dan pada masa sama menjana pendapatan melebihi RM32.5 bilion dan 32,000 pekerjaan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Sejajar dengan komitmen itu, kerajaan menubuhkan Agensi Koordinasi Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO) di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menurut Shamsul Kamar, sektor MRO akan terus berkembang pesat terutama bagi pesawat udara, enjin dan komponen MRO ber­dasarkan pelaburan yang dilakukan oleh syarikat luar seperti Airbus dan syarikat tempatan se­perti Asia Eurotechnics Service dan Airod Aerospace Technology sebelum ini.

Katanya, ini berdasarkan kepada jangkaan pertambahan pesawat komersial di rantau Asia Pasifik sebanyak 16,000 buah pesawat baharu diperlukan dengan 4,000 buah bagi memenuhi keperluan di rantau ini menjelang 2036.

Ketika ini, terdapat 150 syarikat yang terlibat dalam perkhidmatan MRO manakala 40 syarikat pembuatan beroperasi di Malaysia.

“Kita berhasrat untuk meningkatkan jumlah syarikat dalam sektor pembuatan ini kepada 90 syarikat menjelang 2022. Ini kerana Malaysia adalah pembekal utama bagi komponen sayap pesawat Airbus A320 dan Boeing 787 di rantau Asia Pasifik dengan penguasaan 55 peratus melalui kilang pengelua­ran di Melaka, Sungai Buloh, Subang dan Bukit Kayu Hitam.

“Selain itu, melalui UMW Aerospace, Malaysia juga menjadi pengeluar ‘fan case’ bagi enjin pesawat Trent 1000 dan 7000 Rolls Royce yang dipasang di Singapura,” katanya.

Dalam masa sama, jelas Shamsul Kamar, MITI menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Ma­laysia (MIDA) juga optimis berupaya menarik pelaburan baharu dalam aeroangkasa bernilai RM1 bilion tahun ini.

Sehingga September 2017, enam projek pelaburan baharu ber­nilai RM123.5 juta sudah diluluskan.

Antara syarikat multinasional (MNC) yang melabur dan beroperasi di Malaysia ialah Airbus Group, Spirit AeroSystems, Safran Landing Systems, Honeywell Ae­rospace Avionics, Singapore Aerospace Manufacturing, GE Aviation dan UTC Aerospace Systems.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai lebih daripada 200 syarikat aeroangkasa merangkumi syarikat MNC, syarikat besar tempatan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan industri tersebut menjana lebih 21,000 tenaga kerja mahir di negara ini.

Source : http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/malaysia-di-landasan-betul-1.616349

2018-05-22T09:01:16+00:00February 26th, 2018|