KUALA LUMPUR: Eksport industri aeroangkasa dijangkakan meningkat sekurang-kurangnya lima peratus pada tahun ini berbanding tahun lalu, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) II, Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Beliau berkata, MITI mengunjurkan nilai eksport produk aeroangkasa tahun ini mencecah RM9 bilion berbanding RM8.49 bilion tahun lalu.

Katanya, pertumbuhan itu antaranya akan disokong oleh peningkatan tempahan tertunggak yang diterima syarikat aeroangkasa tempatan pada tahun ini.

“Nilai eksport industri ini kekal meningkat pada setiap tahun sejak tahun 2015 dengan tahun lalu mencatat rekod apabila melonjak sehingga lebih 50 peratus atau hampir RM3 bilion.

“Justeru, kita jangkakan tahun ini akan terus meningkat sekurang-kurangnya lima peratus, malah mungkin lebih daripada itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pra pelancaran Konvensyen Perniagaan Aeroangkasa Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIABC 2018) di Menara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi MATRADE, Datuk Dr Noraini Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros.

KLIABAC 2018 yang akan diadakan pada 2 hingga 4 Oktober ini bakal disertai sehingga 250 syarikat aeroangkasa dalam dan luar negara yang akan dianjurkan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.

Tumpuan utama acara itu ialah persidangan sehari membariskan penceramah dari syarikat penerbangan, industri pusat baik pulih dan penyelenggaraan (MRO) dan pengeluar peralatan tulen.

Mengulas lanjut, Ka Chuan berkata, kerajaan melihat industri aeroangkasa sebagai industri strategik yang mempunyai potensi besar walaupun masih baharu dibandingkan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Katanya, kerajaan menerusi Rangka Tindakan Industri Aero Angkasa Malaysia 2030 yang dilancarkan pada 2015 menyasar untuk menjadikan Malaysia sebagai hab utama aeroangkasa di Asia Temggara dan menjadi penggiat utama global pada 2030.

“Asia Pasifik bakal menjadi pasaran terbesar penerbangan udara dan Boeing menjangkakan rantau ini memerlukan kira-kira 16,000 pesawat baharu pada 2035.

“Dalam tempoh berkenaan, rantau ini akan menyumbang 36 peratus penghantaran pesawat kargo dan penumpang global.

“Sehubungan itu, kita boleh melihat peluang besar buat syarikat tempatan dalam pengeluaran komponen dan bahagian pesawat, pengeluaran atau pemasangan untuk pesawat ringan serta korporat dan aktiviti MRO untuk pesawat, enjin dan komponen,” katanya.

Source : https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2018/02/387653/eksport-industri-aeroangkasa-dijangka-meningkat