Industri aeroangkasa Malaysia meningkat 7%

LANGKAWI 21 Mac – Industri aeroangkasa Malaysia dijangka meningkat tujuh peratus tahun ini, didorong permintaan memberangsangkan terhadap pesawat dari negara-negara Asia khususnya China dan India.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, segmen pembuatan aero yang merupakan bahagian utama dalam industri berkenaan di Malaysia, disasar menyumbang 55 peratus kepada nilai keseluruhan industri berkenaan, tahun ini.

“Pendapatan industri penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) akan terus meningkat, khususnya dalam segmen enjin dan komponen dengan sasaran pendapatan sebanyak RM6 bilion.

“Pertumbuhan industri itu akan mewujudkan 1,500 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan laporan perkembangan Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 di sini, hari ini.

Mustapa turut menyaksikan pertukaran lapan dokumen memorandum persefahaman dan perjanjian antara pelbagai penggiat industri, termasuk pihak asing.

2018-05-22T09:01:32+00:00March 22nd, 2017|